“Saya Sangka Kes Arwah Anak Yang Terakhir, Ia Masih Berulang” – Bapa Arwah Zulfarhan

“Saya sedih kejadian yang pernah berlaku terhadap anak (Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain) berulang kepada penuntut lain.”

Itu luahan bapa kepada arwah Zulfarhan, Zulkarnain Idros, 60, berhubung dakwaan seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK-UPNM) cedera ditekap seterika, disyaki dibuli senior.

Menurutnya, beliau mengetahui kejadian itu selepas membaca laporan media yang dihantar oleh isterinya menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.

“Saya terkejut kerana masih ada kes buli berlaku kepada penuntut UPNM. Saya sangka kes arwah anak yang terakhir tapi ia masih berulang.

“Dakwaan mangsa ditekap seterika, tidak kiralah seterika biasa atau seterika wap, ia sesuatu yang tidak boleh diterima kerana bukan saja menyakitkan dan menyeksakan tapi ia meninggalkan kesan buat mangsa.

Ibu Bapa Zulfarhan lahir rasa syukur nasib anak terbela - Malaysia Tribune

“Seperti berlaku kepada arwah anak yang mempunyai 90 kesan tekapan seterika wap panas, sehingga sekarang saya tak mampu untuk lupakan kesengsaraan dialami arwah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berpandangan laporan siasatan kejadian itu wajar didedahkan kepada pengetahuan umum supaya menjadi pengajaran kepada pihak lain.

Beliau berkata, pihak universiti harus memandang serius kejadian itu yang berlaku kali kedua meskipun tidak mengakibatkan kemalangan jiwa.
Selain itu, katanya, sudah tiba masanya akta antibuli bagi mendepani peningkatan kes buli membabitkan fizikal, mental dan seksual.

“Sehingga kini tiada undang-undang khusus terpakai bagi kes buli di sekolah dan institut pengajian tinggi. Peningkatan kes buli kebelakangan ini adalah petanda kecemasan yang memerlukan tindakan segera pihak berwajib,” katanya.

Terdahulu, seorang pegawai kadet tahun dua di ALK-UPNM Sungai Besi dipercayai menjadi mangsa buli dan dera baru-baru ini.
Memetik sumber, mangsa mengambil jurusan kejuruteraan itu didakwa dibuli penuntut senior dan kes terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih bertugas, yang menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Susulan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan mengambil maklum laporan yang tular di media alternatif dan media sosial mengenai insiden itu yang memperlihat kesan lecur pada badan mangsa.
ATM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi serta berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kes itu.

Tindakan disiplin yang keras mahupun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terbabit jika terbukti bersalah.

Sumber: Harian Metro

Pegawai Kadet UPNM Ditekap Seterika: ATM Sahkan Kes Sedang Dalam Siasatan
Pegawai Kadet UPNM Ditekap Seterika: ATM Sahkan Kes Sedang Dalam Siasatan

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menjalankan siasatan mengenai kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Sungai Besi yang didakwa menjadi mangsa buli dan dera oleh penuntut senior.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman ketika dihubungi memaklumkan siasatan terperinci sedang dilaksanakan.

“Siasatan sedang dijalankan dan biar proses ini berjalan.

“ATM memandang serius isu sebegini dan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terbabit dengan kes berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, ATM dalam kenyataan memaklumkan kejadian membabitkan pelajar kadet yang disyaki dibuli oleh seniornya menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular menerusi media sosial.

ATM turut menyatakan tindakan disiplin yang keras mahu pun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terbabit, jika terbukti bersalah.

Pada masa sama, ATM menggesa masyarakat memberi ruang kepada pihaknya untuk menyiasat perkara itu secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya.

Masyarakat juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan tersebut.

Pada 2017, negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang cedera apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.

Berikutan itu, enam bekas penuntut UPNM dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lalu selepas didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan.
Sumber – Sinar Harian

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*