Nas Ahmad meninggal dunia

Kuala Lumpur: Bekas wartawan program hiburan popular, Melodi iaitu Nas Ahmad, 63, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, jam 10 pagi, hari ini.

Berita sedih itu disahkan oleh anaknya dikenali sebagai Alun kepada rakan-rakan penggiat seni antaranya Presiden IRAMA Entertainment Komuniti Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abdul Majid dan media.

Ayob berkata, empat hari lalu, dia bersama Presiden Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia (Insaf), Ishak Abdul Kadir, mengunjungi arwah di rumahnya lalu mendapati Nas dalam keadaan lemah dan hanya mampu terbaring.

“Selepas itu kami pulang. Tak lama kemudian anaknya menghubungi saya memaklumkan ayahnya perlu ubat untuk sesak nafas yang berharga lebih RM100.

“Saya bercakap dengan Ishak Abdul dan kami bercadang melawatnya di rumah pagi ini dan bawa ubat.

“Malam tadi, saya dihubungi anaknya memberitahu ayahnya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh akibat sesak nafas.

“Hari ini dikejutkan dengan berita kematiannya,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu Nas atau nama sebenar, Md Nasir Ahmad mempunyai masalah jantung sejak 2022 sehingga memberi kesan kepada kewangannya berikutan sudah hilang punca pendapatan.

Allahyatham antara 13 pengamal media dan bekas pengamal media menerima sumbangan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kerjasama Titipan Kasih Harian Metro dan Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi BSN Care 50 Hari Memberi – BSN Jengah, TKHM Singgah pada November lalu.

Sumber: Harian Metro

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*