
KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, selamat dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada jam 2.26 petang Selasa.
Terdahulu, lebih 3,000 hadirin termasuk pemimpin negara, orang kenamaan, serta orang awam menyertai solat jenazah untuk negarawan itu yang disempurnakan di Dewan Solat Utama selepas zohor.
Solat jenazah serta talkin dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni.
Antara pemimpin utama yang bersama-sama menunaikan solat jenazah ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Turut hadir empat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Terdahulu, Istiadat Pengebumian Negara bermula seawal jam 10 pagi hingga 1 petang.
Suasana suram menyelubungi Masjid Negara ketika rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada negarawan yang disegani itu.
Selesai solat jenazah, keranda Allahyarham yang dibaluti Jalur Gemilang dibawa oleh Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Dewan Solat Utama ke Makam Pahlawan untuk disemadikan.
Negara pada Isnin berduka menyambut berita pemergian bekas Perdana Menteri kelima itu, yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) akibat masalah pernafasan dan faktor usia.
Abdullah, yang lebih dikenali sebagai “Pak Lah,” dikenang sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan berintegriti tinggi.
Beliau telah memegang jawatan Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, meninggalkan legasi yang besar dalam pembangunan negara, termasuk inisiatif seperti NCER, J-QAF, dan industri halal.
Rata-rata menyifatkan pemergian sebagai satu kehilangan besar buat negara.
Semoga roh Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Sumber: Astro Awani
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.
Leave a Reply