
Subang Jaya: Sebuah jentera pengorek (excavator) dikhuatiri terbenam di kawasan letupan saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, Selasa lalu, dan polis mengesahkan tiada penemuan mayat setakat ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti pemaju, kontraktor, subkontraktor dan pekerja yang terbabit dalam aktiviti mengorek tanah di kawasan letupan dengan menggunakan dua jentera, yang salah satunya terbenam dalam kawah sedalam lapan meter (m) dan berkelebaran 70 meter diameter yang terhasil akibat letupan berkenaan.
Katanya, kerja mengorek kawah berkenaan untuk siasatan lanjut terperinci merangkumi punca kejadian dan mengeluarkan eskavator yang terbenam itu bermula 15 April ini yang dijangka mengambil masa dalam tempoh dua minggu.
“Setakat ini tiada penemuan mayat hasil pemeriksaan dilakukan dan kami masih memerlukan masa untuk mengorek lubang (kawah) itu bagi mengetahui jika ada orang dalam eskavator yang terbenam, namun setakat ini kita tidak menerima laporan orang hilang,” katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini, hari ini.

Menjelaskan aktiviti mengorek tanah di sekitar kawasan letupan, Hussein berkata, kerja itu dilakukan untuk menggantikan paip kumbahan yang berada kira-kira 30 m dari pusat letupan.
“Kita boleh sahkan ada aktiviti (mengorek) dan kerja itu dihentikan pada 30 Mac lalu tetapi adakah pengorekan itu (dilakukan) seberapa dalam, berapa jauh perlu disiasat.
“Selain itu, untuk mengenal pasti adakah aktiviti itu boleh menyebabkan letupan juga perlu disiasat lanjut,” katanya.
Sementara itu, mengenai dakwaan berlaku aktiviti mengorek tanah pada Aidilfitri pertama, Hussein berkata, pihaknya mengambil maklum perkara itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya dimaklumkan jengkaut yang didakwa itu dikatakan dibawa keluar daripada kawasan berkenaan untuk kerja pembaikan sebelum kejadian berlaku.
Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan secara menyeluruh berhubung insiden berkenaan termasuk dakwaan yang berkaitan dengannya.
Sumber: Harian Metro
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.
Leave a Reply